Total Pageviews

Saturday, November 8, 2014

MP BATU SAPI DAKWA EKORAN PERINTAH BERKURUNG ESSZONE JEJASKAN EKONOMI SEKTOR PELANCONGAN DI SABAH

OLEH: ROBERT LEE


BATU SAPI:- Pengisytiharan Perintah Berkurung yang berkuatkuasa di ESSZONE dengan tujuan untuk mempertingkatkan kawal selia keselamatan perairan Sabah khususnya di kawasan ESSZONE, tidak menjejaskan aktiviti penangkapan ikan.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Dr Shahidan Kassim ketika menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin semasa persidangan Dewan Rakyat, yang minta Menteri menyatakan impak perintah berkurung di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang dilaksanakan sejak Julai 2014, keatas ekonomi di Pantai Timur Sabah terutamanya sektor pelancongan dan perikanan.

“Bagi nelayan yang ingin keluar menangkap ikan sepanjang tempoh Perintah Berkurung, mereka boleh mendapatkan permit untuk menjalankan aktiviti perikanan di zon perairan Perintah Berkurung daripada Ketua Polis Daerah,” tambah Shahidan.

Menurut Shahidan, sebanyak 1,697 permit telah dikeluarkan sejak dari 19 Julai sehingga 9 Oktober 2014.

Dari aspek pelancongan pula, terdapat penurunan jumlah pelancong ke ESSZONE antara bulan April hingga Jun 19 2014. Namun,  lawatan daripada Pesuruhjaya Tinggi British dan Kedutaan Jepun ke ESSZONE bagi tujuan mengkaji semula “Travel Advisory” telah berpuas hati dengan tahap keselamatan dan langkah-langkah yang telah diambil oleh ESSCOM, katanya lagi.



Sehubungan dengan itu, sejak bulan Julai 2014, ketibaan pelancong-pelancong asing mula menunjukkan peningkatan. Perangkaan data tempahan di pusat-pusat peranginan juga menunjukkan peningkatan ketibaan dari tempahan dalam kalangan pelancong asing mulai minggu pertama Oktober 2014 hingga Disember 2014, kata Shahidan.

“Pengusaha-pengusaha pusat peranginan dan pelancong juga rata-rata berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan perairan ESSZONE. Mereka berharap perintah berkurung ini dapat diteruskan agar keselamatan mereka lebih terjamin,” kata Menteri.





Thursday, November 6, 2014

KES BULI PELAJAR SUDAH DIBERKAS POLIS

By Admin


KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti suspek utama dalam video klip aksi buli diketuai seorang remaja lelaki memakai singlet hitam yang viral di laman sosial baru-baru ini, yang berlaku di Pontian, Johor empat tahun lalu.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Asmawati Ahmad berkata hasil semakan dengan pihak sekolah berkenaan mendapati suspek utama (bersinglet hitam) telah dibuang sekolah pada Ogos 2011.
“Beberapa suspek dan mangsa lain juga sudah dikenal pasti. Bagaimanapun sehingga kini tiada laporan polis diterima daripada mangsa atau keluarga dan pihak sekolah turut mengesahkan tiada sebarang laporan dibuat berhubung insiden terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Kejadian itu direkodkan dalam sebuah klip video berdurasi empat minit 37 saat yang dimuat naik di laman sosial yang memaparkan aksi sekumpulan remaja lelaki membelasah sembilan remaja di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah.
Beliau berkata pihak sekolah turut mendakwa hanya mengetahui berhubung insiden terbabit selepas klip video mengenainya tersebar dan mendapat liputan meluas.
Sementara itu, Asmawati berkata dalam satu lagi kes yang turut tersebar, hasil siasatan polis mendapati hanya enam remaja yang terlibat memukul seorang remaja lelaki berbaju T merah di sebuah rumah anak yatim di Kangar, Perlis.
“Kejadian itu telah dilaporkan oleh pengurusan asrama kepada polis pada 6 Jun lepas dan keterangan mangsa berumur 11 tahun telah diambil.
Siasatan lanjut polis membawa kepada penahanan enam suspek berusia antara 13 hingga 15 tahun dan kes telah didakwa di Mahkamah Majistret Kangar di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan petang tadi,” katanya.
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk merujuk kepada polis jika mengesan sebarang video atau maklumat yang meragukan bagi mengelak kegusaran masyarakat akibat sebaran maklumat tidak berasas,” katanya.
– BERNAMA