OLEH: LEE KON CHY@ ABDULLAH LEE
GAMBAR MENUNJUKKAN.....Sebahagian jalan yang
sudah runtuh akibat hakisan yang berlaku pada tebing sungai di Kampung Gum Gum
GUM-GUM:- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum
Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
Negeri supaya mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja menangani masalah hakisan
pada tebing sungai di Kampung Gum Gum.
Beliau berharap pihak
JPS akan segerakan melaksanakan projek berkenaan setelah sebahagian jalan di
kampung tersebut runtuh dan tidak dapat dilalui kenderaan akibat hakisan yang
berlaku pada tebing Sungai Gum Gum.
Menurut Zakaria yang
juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, terdapat beberapa
buah rumah yang terletak di tebing sungai turut terjejas dan ini membahayakan
keselamatan penghuni-penghuni berkenaan.
Antara usaha yang akan
dilaksanakan oleh Kerajaan untuk menangani masalah hakisan pada tebing Sungai
Gum Gum ialah pembinaan tembok Gabion lebih dari 120 meter panjang oleh JPS.
Masalah hakisan itu
dilaporkan mula berlaku setelah hujan turun berterusan awal tahun ini. Pihak
JPS serta pegawai dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Gum Gum
telah pun membuat pemeriksaan untuk mengenalpasti lokasi yang terjejas.
Ini merupakan tindakan
susulan dari tinjauan Zakaria ketika beliau turun padang untuk melihat
sendiri baru-baru ini masalah berkenaan setelah diajukan kepada beliau oleh
penduduk kampung.