OLEH:
SHAIMON S JUMADI
KARAMUNTING:- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting,
Charles O Pang, menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri
Musa Haji Aman yang meminta kerajaan pusat segera menghantar aset termasuk
kelengkapan sesuai untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Beliau menegaskan keperluan lojistik ini
sangat penting yang membolehkan kawalan keselamatan lebih baik dapat dijalankan
terutama melibatkan perairan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
"Saya menyambut baik dengan langkah-langkah
yang diutarakan Datuk Seri Musa agar patut aset sesuai untuk ESSCOM dihantar ke
Sabah supaya kerja-kerja mengawal keselamatan dapat diberikan tumpuan
penuh," jelasnya kepada The Sabah Insider Portal Online semasa ditemui di
Sri Libaran, dekat sini, kelmarin.
Sebelum itu, Charles hadir dalam satu
mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Menteri membincangkan susulan insiden
penculikan di Restoran Ocean King, lewat petang baru-baru ini
Hadir sama pada perbincangan itu Komander
ESSCOM, Dato' Abdul Rashid Harun; Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Zabidi Md.
Zain dan Ketua-ketua pasukan keselamatan yang lain serta pemimpin setempat.
Kejadian penculikan yang tidak disangka dan
mengejutkan masyarakat apabila dua warga tempatan iaitu seorang lelaki dan
seorang wanita diculik sekumpulan lelaki bersenjata di restoran atas air yang
terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Sandakan ini.
Mengulas lanjut, Charles melahirkan
keyakinannya kes sebegini akan dapat dibendung berikutan komitmen jitu kerajaan
terutama pasukan-pasukan keselamatan yang akan terus menjaga keselamatan
daripada terus dicerobohi anasir-anasir luar.
Katanya, masyarakat juga perlu memberikan
kerjasama dengan segera menyalurkan maklumat jika berlaku sesuatu di sekeliling
mereka bagi membolehkan pihak berkuasa keselamatan menjalankan tindakan.
"Saya yakin pihak kerajaan akan dapat
menghentikan serta-merta insiden penculikan yang berlaku asalkan kita semua
memberikan kerjasama jitu.
"Saya mengalu-alukan saranan Ketua
Menteri yang meminta perlunya disegerakan segala aset termasuk kelengkapan yang
sesuai untuk ESSCOM, bagi membolehkan mereka menjalankan tugas mengawal
keselamatan pesisiran pantai timur," ujarnya.
No comments:
Post a Comment